Sabtu, 6 April 2019 | 7:14pm

Inspektor ditahan, disyaki ada kaitan sindiket dadah

JOHOR BAHRU: Seorang Inspektor polis ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah yang ditumpaskan dengan nilai rampasan syabu RM103.2 juta, pertengahan bulan lalu.

Difahamkan, pegawai berusia lingkungan 30-an itu yang bertugas di sebuah ibu pejabat polis (IPD) di negeri lain ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di rumahnya di bandaraya ini, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, ketika dihubungi di sini, hari ini, mengesahkan tangkapan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

“Benar ada tangkapan membabitkan pegawai polis, namun saya tidak boleh ulas lanjut kerana siasatan dikendalikan Bukit Aman,” katanya.

Pada 19 Mac lalu, polis menahan enam lelaki berusia 35 hingga 49 tahun dan merampas syabu seberat 2.06 tan bernilai RM103.2 juta yang disifatkan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM), melalui tiga serbuan di Ulu Tiram, dekat sini.

Pengarah JSJN, Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, dilaporkan berkata kejayaan menumpaskan sindiket antarabangsa itu hasil risikan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selama lebih dua minggu.

Beliau berkata, sindiket berkenaan membawa masuk dadah menerusi jalan laut dari Thailand, Myanmar dan Kemboja, sebelum dihantar ke Singapura, Indonesia, Filipina, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

596 dibaca
Berita Harian X