Sabtu, 6 April 2019 | 9:36am
Sebahagian 25 bungkusan daun ketum seberat 120 kilogram yang dirampas hasil tangkapan seorang wanita Kemboja berusia 28 tahun dalam serbuan di tepi jalan kebun getah di Bukit Pak Pom. - Foto ihsan PDRM

Leka bungkus ketum hingga tak sedar diserbu

PENDANG: Seorang wanita warga Kemboja ditahan polis ketika leka membungkus 125 kilogram (kg) daun ketum di Bukit Pak Pom, Kubur Panjang, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 8 malam itu, penoreh getah berusia 28 tahun itu tidak menyedari kehadiran polis kerana sibuk membungkus di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan, Arriz Sham Hamezah, berkata suspek bersendirian duduk berhampiran kebun getah sambil membungkus daun ketum yang dimasukkan ke dalam bungkusan plastik hitam.

“Hasil serbuan pegawai dan anggota Balai Polis Kubur Panjang itu menemui 25 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 120 kg daun ketum.

“Daun ketum bernilai RM3,600 itu dirampas manakala suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arriz berkata, siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai sudah berkahwin dan menetap di Kampung Gajah Mati, di sini sejak lapan bulan lalu.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati dia bebas pengaruh dadah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

273 dibaca
Berita Harian X