Sabtu, 6 April 2019 | 9:16am
Dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler membawa muatan besi buruk di Kilometer 356 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi hari ini. - Foto ihsan Bomba

Dua cedera kemalangan bas ekspres, treler

SLIM RIVER: Dua cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler membawa muatan besi buruk di Kilometer 356 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mereka yang cedera ialah seorang penumpang bas dan pemandu treler berkenaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 4.51 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan itu membabitkan bas dengan treler manakala bilangan penumpang bas tidak dapat dipastikan.

“Hanya dua mangsa cedera iaitu seorang penumpang bas dan pemandu treler.

“Pemandu treler dibawa ke Hospital Slim River menggunakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Penumpang bas yang cedera dibawa menggunakan ambulans ke hospital sama,” katanya.

Katanya, anggota bomba membuat pemantauan bagi memastikan tiada penumpang dalam bas dan treler sebelum operasi ditamatkan jam 6.10 pagi.

Berita Harian X