Jumaat, 5 April 2019 | 7:39pm
NELAYAN tempatan, Jari Abdullah yang diculik oleh Kumpulan Abu Sayyaf pada 6 Disember tahun lalu ditemui oleh Angkatan Tentera Republik Filipina (AFP) semalam.

Nelayan tempatan mangsa culik sedang terima rawatan

PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan seorang nelayan tempatan, Jari Abdullah yang diculik oleh Kumpulan Abu Sayyaf pada 6 Disember tahun lalu ditemui oleh Angkatan Tentera Republik Filipina (AFP) semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan mangsa kini sedang dirawat di fasiliti perubatan di Mindanao kerana kecederaannya.

“Jari ditemui ketika pertempuran antara AFP dan Kumpulan Abu Sayyaf di Bandar Banguigui, Pulau Simisa, Sulu, Filipina.

“Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao dan Kedutaan Malaysia di Manila berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat terkini dan sedang memantau keadaannya.


Anak-anak Jari berharap dapat bertemu semula dengan bapa mereka yang diculik dari perairan Pegasus Reef di Kinabatangan 6 Disember lalu. - Foto Poliana Ronie Sidom.

“Menteri Luar Negeri juga telah mengarahkan Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Dua Hala) untuk bertemu dengan pemimpin Sabah untuk mendapatkan perkembangan terbaharu dari Kerajaan Negeri Sabah mengenai mangsa penculikan,” katanya.

Pada 6 Disember tahun lalu, Jari bersama dua lagi nelayan warga Indonesia, Heri Ardiansyah, 19, dan Hariadin, 45, dilaporkan hilang dari bot mereka ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan.

Dalam kejadian itu, tiga nelayan terbabit dilaporkan hilang selepas sebuah bot nelayan ditemui tanpa kelibat ketiga-tiga mangsa dan disahkan diculik selepas seorang dari isteri mangsa menerima panggilan daripada mangsa mendakwa dibawa ke sebuah tempat tidak diketahui di Filipina.

494 dibaca
Berita Harian X