Khamis, 4 April 2019 | 6:18pm
- Foto hiasan

Rogol dan pecah rumah, penganggur kena lapan sebatan, jel 8 tahun

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah atas tuduhan merogol, rompak dan melakukan pecah rumah milik seorang pengurus hotel, akhir tahun lalu.

Hakim Noradura Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Tay Cuee Siong, 33, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan bagi tuduhan rogol manakala bagi tuduhan kedua penjara lima tahun dan dua sebatan dan penjara tiga tahun bagi kesalahan pecah rumah.

Semua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 3 Disember 2018.

Terdahulu, Noradura berkata, ketiga-tiga kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius sekiranya kesalahan ini tidak dibendung dan menjejaskan ketenteraman awam.

“Saya harap tertuduh insaf dan tidak mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Cuee Siong didakwa merogol seorang wanita berusia 40 tahun 9 bulan di sebuah rumah di Batu 6 Jalan Puchong di sini pada 12.30 tengah hari, 28 November 2018.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Sementara itu, bagi tuduhan merompak, tertuduh didakwa merompak dua telefon bimbit masing-masing jenama Nokia dan Samsung dan sebuah jam tangan jenama G-Shock milik mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Bagi tuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa melakukan pecah rumah dengan mencuri dua telefon bimbit masing-masing jenama Nokia dan Samsung serta sebuah jam tangan jenama G-Shock membabitkan anggaran kerugian RM1,000 milik mangsa sama pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga dikenakan denda dan tiap-tiap kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana tertuduh memecah masuk rumah dan merompak serta merogol mangsa lalu mengambil barang kepunyaan mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Cuee Siong yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menyesali perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi.

Berita Harian X