Khamis, 4 April 2019 | 3:32pm
KENDERAAN pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Vios, mengakibatkan tiga lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Lahad Datu - Sandakan, di Kampung Sandau, Lahad Datu. - Foto ihsan bomba

3 maut kemalangan

LAHAD DATU: Tiga lelaki maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu-Sandakan, di Kampung Sandau, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, pemandu Toyota Vios, Chung Shu Fah, 39, dan dua penumpang iaitu Chong Soo Feh, 46, dan Chong Yee Fai, 15, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komsioner Nasri Mansor, berkata siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan ke arah Sandakan manakala kereta dinaiki tiga lelaki itu datang dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Vios dipercayai masuk ke laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh sehingga menyebabkan kemalangan.

“Akibatnya, pemandu dan dua penumpang Toyota Vios disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Nasri berkata, pemandu Toyota Hilux, seorang wanita berusia 35 tahun parah dan anak lelakinya berusia dua tahun cedera ringan.


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan ketiga-tiga mangsa lelaki yang maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam kemalangan di Jalan Lahad Datu - Sandakan, di Kampung Sandau, Lahad Datu. - Foto Ihsan Bomba

“Dua beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 198,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dihantar ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.18 pagi.

“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang berada di dalam kereta Toyota Vios.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X