Rabu, 3 April 2019 | 10:18pm
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir dan Tangkak berusaha mengeluarkan mangsa yang maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di KM 146.1 Lebuh Raya Utara Selatan. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

Dua maut, lori kontena bertembung Myvi

MUAR: Dua lelaki maut selepas sebuah lori kontena yang membawa muatan sos cili hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan PERODUA Myvi di Kilometer 146.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, petang tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu kedua-dua kenderaan itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

“Siasatan mendapati lori kontena terbabit dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur dan ketika tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan kanan kenderaan itu pecah.


Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir dan Tangkak berusaha mengeluarkan mangsa yang maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di KM 146.1 Lebuh Raya Utara Selatan. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat

“Kejadian itu menyebabkan pemandu lori kontena terbabit hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan PERODUA Myvi,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Zaharudin berkata, lori kontena itu terbalik melintang di laluan kiri jalan hingga menyebabkan kepala lori dan kereta terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter.

“Mangsa yang maut ialah pemandu lori kontena berkenaan, D Sahan Kumar, 39, yang beralamat di Tampin, Negeri Sembilan.

“Pemandu PERODUA Myvi pula dikenali sebagai Khor Chan Hung, 40, beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang disahkan mati di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kemalangan terbabit berlaku di jalan lurus dua lorong dengan keadaan permukaan jalan yang kering dan cuaca yang baik.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk dibedah siasat dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X