Rabu, 3 April 2019 | 12:37pm
PEKERJA asing warga Nepal yang ditahan selepas bertindak agresif semasa Operasi Bersepadu (Ops Sapu dan Jaja) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah sekitar pasar pagi dan premis perniagaan, semalam. - Foto ihsan JIM

Bergelut tahan warga asing

ALOR SETAR :Seorang lelaki warga Nepal bertindak agresif dengan menolak dan menarik anggota Imigresen selepas gagal mengemukakan Kad Akuan Diri Pekerja Asing (i-Kad) dalam operasi di sekitar bandaraya ini, semalam.

Tindakan lelaki berusia 24 tahun yang sebelum itu cuba melarikan diri menyebabkan dua anggota Imigresen terpaksa bergelut lebih lima minit sebelum berjaya menahannya.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Zuhair Jamaludin, berkata dalam operasi bermula 10.30 pagi hingga 2.30 petang itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh, lima lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Indonesia.

“Semua warga asing berusia 13 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar pasar pagi serta kedai dan kebanyakannya bekerja menjual sayur-sayuran.

“Cuma lelaki Nepal itu sahaja mengaku dia ke pasar untuk membeli barang dan i-Kad dipegang oleh majikannya sebelum dia bertindak agresif,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, dalam Operasi Bersepadu (Ops Sapu dan Jaja) yang dijalankan selama empat jam itu, seramai 27 pekerja asing diperiksa, namun hanya 10 ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah dan bekerja secara tidak sah.

“Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tiada dokumen perjalanan sah.

“Selain ditahan mengikut Perkara 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya.

Beliau berkata, semua mereka di bawa ke lokap imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Alor Setar sebelum dihantar ke Depot Imigresen, Belantik, Sik.

Berita Harian X