Selasa, 2 April 2019 | 8:46pm
Dua lelaki maut, manakala seorang lagi cedera selepas terbabit kemalangan di Kilometer 24 Jalan Gerik - Kupang berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Bintang Hijau. - Foto ihsan Bomba

Dua maut di Jalan Gerik - Kupang

GERIK: Dua beradik lelaki maut, manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 16.9 Jalan Raya Timur Barat Fasa Dua Gerik Kupang, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, pemandu kereta jenis Honda Accord, Wong Hong Yie, 26 dan adiknya, Wong Hong Chuan, 19 yang duduk di tempat duduk belakang maut di lokasi kejadian.

Seorang lagi adik beradik mangsa yang duduk di tempat duduk hadapan, Wong Hong Yau, 22 cedera di bahagian kepala dan badan, manakala bapa saudara mereka, Lim Khem Guan, 42 cedera di kaki kanan dan kiri.

Pemandu lori jenis Hino berusia 48 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati kereta dinaiki mangsa dipercayai dipandu laju ketika dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Kupang, manakala lori berkenaan dalam perjalanan dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian kanan hadapan lori terbabit.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang kereta maut di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang parah,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Beliau berkata, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik untuk bedah siasat pada jam 9 malam tadi, manakala mangsa yang cedera berusia 22 tahun dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Seorang lagi mangsa yang cedera berusia 42 tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan,” katanya.

Ismail berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati jalan raya berkenaan jalan dua hala dan terdapat selekoh panjang ke arah kiri pada laluan Gerik ke Kupang.

Katanya, ketika kejadian keadaan cuaca hujan dan jalan raya basah.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X