Selasa, 2 April 2019 | 7:51pm
Gambar Tular, keadaan seorang penunggang motosikal apabila dirempuh tayar treler yang tercabut di Batu 3 Jalan Seremban-Port Dickson. - Foto ihsan FB

Lelaki cedera dirempuh tayar treler tercabut

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal cedera apabila tayar sebuah treler tercabut lalu mengenai mangsa di Batu 3 Jalan Seremban-Port Dickson, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, Mohamad Haanee Kamaludeen, 30, mengalami kecederaan di kepala dan kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, berkata ketika kejadian, treler dipandu lelaki berusia 51 tahun itu dalam perjalanan dari arah Sungai Gadut, Seremban, menuju ke Lukut, Port Dickson.

“Bagaimanapun, tayar belakang kiri treler itu tiba-tiba tercabut dan terpelanting ke kanan jalan.

“Tayar itu kemudian merempuh penunggang motosikal Suzuki yang berada di lorong kanan. Akibat kejadian itu, penunggangnya terjatuh dan cedera di kepala serta kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Rakaman video berdurasi tiga saat menunjukkan penunggang motosikal dirempuh tayar treler yang tercabut sehingga menyebabkan mangsa terjatuh, turut tular dalam laman sosial Facebook.

Berita Harian X