Isnin, 1 April 2019 | 5:41pm

Angkara cemburu, lelaki pukul teman wanita sampai mati

GEORGETOWN: Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak memukul kekasihnya menggunakan topi keledar sehingga mati dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah, petang kelmarin.

Mangsa, Surinder Kaur Bedi, 37, meninggal dunia jam 5 pagi tadi akibat kecederaan parah di kepala, selepas menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata dalam kejadian jam 10.45 malam kelmarin, anggota polis yang sedang membuat rondaan menerima laporan dari orang awam yang melihat wanita berkenaan dipukul.

“Suspek yang berumur 55 tahun sebelum itu membawa mangsa keluar dan minum arak. Kemudian berlaku pertengkaran mulut dan menyebabkan suspek memukul si mati di kepala dengan topi keledar.

“Orang awam yang melihat kejadian itu cuba menghalang dan menahan suspek, sebelum melaporkan kejadian itu kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Zaimani berkata, suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali sejak 15 tahun lalu, dan bercinta sejak 4 bulan lalu.

Katanya, kes dipercayai berpunca akibat cemburu apabila suspek mengesyaki teman wanitanya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Siasatan terhadap suspek juga mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X