Ahad, 31 March 2019 | 11:29pm

Budak lelaki lemas dalam kolam renang

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui lemas di kolam renang sebuah kelab golf di Bukit Beruntung, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata kejadian itu disedari pengawal keselamatan di kelab golf terbabit ketika sedang membuat rondaan jam 9.40 pagi.

"Ketika membuat rondaan, pengawal keselamatan itu melihat beberapa individu sedang menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

"Mangsa dihantar ke klinik berdekatan dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bak Phai berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa sedang berenang di kolam renang kanak-kanak sambil ditemani ahli keluarga.

"Namun, mangsa memasuki kolam renang dewasa tanpa disedari dan dipercayai lemas. Mangsa bermalam di kelab golf berkenaan bersama keluarga dari Masai, Johor.

"Bedah siasat mendapati tiada kecederaan fizikal dan punca kematian ialah 'Asphyxia Secondary' atau lemas,” katanya.

892 dibaca
Berita Harian X