Sabtu, 30 March 2019 | 3:33pm

Satu maut, 3 cedera kereta langgar tembok stesen LRT

PETALING JAYA: Seorang lelaki maut manakala tiga rakannya parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Jalan Lapangan Terbang Subang, di bawah Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.20 pagi itu, Norman Mansiu, 31, yang berasal dari Kunak, Sabah, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala tiga rakannya, masing-masing berusia 18, 21 dan 38 tahun, cedera.

Siasatan awal di lokasi mendapati kereta jenis PERODUA Viva dipandu Norman yang dalam perjalanan ke arah Subang itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh tembok tiang stesen LRT di sebelah kiri laluan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata Norman disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik manakala tiga lagi mangsa yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

“Mayat mangsa turut dibawa ke PPUM untuk tujuan bedah siasat, bagaimanapun buat masa ini proses bedah siasat belum dapat dilakukan kerana kita masih berusaha mengesan warisnya.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, saksi kemalangan diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101.

Berita Harian X