Jumaat, 29 March 2019 | 3:01pm
KETUA Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood. - Foto Sairien Nafis.

7 tulang rusuk kiri Adib patah - Saksi

SHAH ALAM: Tujuh tulang rusuk kiri belakang Muhammad Adib Mohd Kassim yang patah hanya dikesan ketika proses bedah siasat mayat dilakukan pada 18 Disember lalu.

Saksi ke-27, Ketua Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, berkata pihaknya tidak mengetahui kecederaan itu kerana tidak dimaklumkan mengenai tujuh tulang rusuk Muhammad Adib patah ketika di Institut Jantung Negara (IJN).

Berikutan itu, Dr Mohd Shah berkata pihaknya memohon bantuan pegawai penyiasat polis untuk mendapatkan imbasan CT (CT Scan) dan x-ray Muhammad Adib bagi mengetahui kecederaan berkenaan sama ada ia berlaku ketika kejadian atau disebabkan rawatan selama 21 hari.

“Kecederaan unik itu tidak dilihat ketika saya melakukan pemeriksaan klinikal terhadap mangsa ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN, pada 30 November 2018.

“Kami turut tertanya-tanya berkenaan hal ini kerana kami tiada maklumat berkenaannya,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-20 prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Shah yang pernah terbabit dengan lebih 1,000 bedah siasat, berkata pihaknya hanya dapat merungkai punca kecederaan selepas membuat lawatan ke lokasi kejadian, lima hari selepas bedah siasat dijalankan.

Katanya, sebelum melawat lokasi, pihaknya tidak ada sebarang pandangan kukuh untuk mengaitkan punca kecederaan malah mengambil pelbagai punca termasuk dipukul, ditendang, terajang atau terkena kenderaan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengambil kira kemungkinan kecederaan Muhammad Adib disebabkan tersepit antara jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), namun ia ditolak kerana jika tersepit, kecederaan dialami Muhammad Adib lebih parah.

“Ketika melawat lokasi, kami cari punca yang menyebabkan tujuh rusuk belakang patah dan kami periksa FRT lihat apa-apa objek nipis lurus dan menegak.

“Pada ketika itu ada enam kemungkinan iaitu bucu kiri dan kanan jentera FRT serta dua tangga di belakang FRT yang memberi empat kemungkinan penyebab patah tujuh tulang rusuk,” katanya.

Saksi sama berkata, pihaknya kemudian dibawa melihat van EMRS dan ketika itu pemandu van berkenaan, Mohd Shahril Othman memaklumkan Muhammad Adib tiada dalam kenderaan ketika van terkena hentakan kedua yang kuat.

Katanya, pada ketika itu, pihaknya mendapati pintu depan kiri EMRS mempunyai bahagian nipis, menegak dan anggaran ketebalan dua milimeter (mm).

“Hanya ketika itu kami berpandangan objek tumpul dan nipis yang sangat bersesuaian dengan patah tujuh rusuk belakang secara menegak.

“Pemeriksaan seterusnya pada bahagian pintu depan kiri iaitu pada kunci pintu (plate).

“Sedikit menonjol dan ini bersesuaian dengan punca calar memanjang abdomen belakang 15 sentimeter (cm),” katanya.

Terdahulu, Dr Mohd Shah memberitahu mahkamah bahawa bedah siasat menunjukkan kesan kecederaan tidak menunjukkan mangsa dipukul atau diserang.

Katanya, tiada apa-apa kecederaan yang menunjukkan kecederaan bercorak tangkisan atau akibat mempertahankan diri dilihat pada kedua-dua tangan dan kaki.

“Ia kecederaan sangat unik dan paling unik patah tujuh tulang rusuk belakang dan ini kali pertama saya lihat kes tujuh rusuk patah secara lurus dan menegak,” katanya.

Berita Harian X