Jumaat, 29 March 2019 | 12:46pm
AHLI keluarga dan penduduk kampug mengaminkan doa selepas selesai pengkebumian jenazah empat orang Mohd Sajury, Sabariah, Nur ilham Najwa dan anak angkat Uwais Aiqurney di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tok Junoh Kampung Kolam. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

Jenazah 4 ahli keluarga selamat dikebumikan

BACHOK: Jenazah suami isteri, anak angkat serta anak saudara mereka selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, di sini, pagi ini.

Suasana pilu menyelubungi pemergian Allahyarham Mohd Sajury Abdullah, 63; isteri, Sobariah Haron, 54; anak angkat, Uwais AlQurney, 6; serta anak saudara mereka, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, yang selamat dikebumikan pada jam 10 pagi tadi.

Jenazah Mohd Sajury bersama anak angkatnya, Uwais; dan arwah Sobariah bersama sepupunya, Nur Ilham Najwa, masing-masing ditanam dalam satu liang, disaksikan kira-kira 200 ahli saudara serta penduduk yang menghadiri pengebumian berkenaan.

Jenazah empat ahli keluarga sebelum itu disembahyangkan di rumah keluarga di Kampung Mak Mayong, di sini.

Sebelum ini jenazah mereka termasuk arwah Muhamad Faezuan Nor Izzudin, 27 dari Hospital Raub tiba di Kampung Jelawat jam 1.10 pagi diiringi dua kereta peronda daripada Balai Polis Bachok.

Terdahulu, Jenazah Muhamad Faezuan Nor Izzudin, 27 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, Jelawat, di sini jam 1.34 pagi tadi.

Sementara itu, ibu kepada arwah Nurul Ilham Najwa, Ramzainiah Haron, 48, berkata arwah anaknya seorang yang baik dan mendengar kata.

Katanya, arwah sudah membuat pelbagai perancangan sepanjang cuti semester selama tiga bulan di kampung.

“Arwah tamat peperiksaan pada 20 Mac lalu dan saya cadangkan dia menumpang ibu saudaranya yang kebetulan akan ke Kelantan, semalam. Arwah pun tidak keberatan kerana dia memang rapat dengan ibu saudaranya itu.

“Malah, arwah sudah merancang untuk mengambil ujian lesen memandu, berpuasa dan menyambut Aidilfitri di kampung, namun tuhan lebih mengetahui,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.54 pagi semalam, lima individu, termasuk sepasang suami isteri dan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, maut selepas kereta Proton Pesona yang dinaiki mereka bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Kampung Jeram Besu.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Zahari Wan Busu, dilaporkan berkata Proton Pesona yang dinaiki semua mangsa itu dikatakan hilang kawalan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh bas ekspres yang membawa 45 penumpang yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.

1224 dibaca
Berita Harian X