Jumaat, 29 March 2019 | 7:08am
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31.8 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, semalam. - Foto ihsan bomba

Seorang maut, 4 parah kemalangan

GERIK: Seorang maut manakala empat parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan sebuah van di Kilometer 31.8 Jalan Kuala Kangsar-Gerik di sini, semalam.

Dalam kemalangan jam 5 petang itu, pemandu kereta, Samsudin Sanak, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga penumpang dipercayai anak mangsa, parah.

Difahamkan, seorang daripada 13 penumpang van jenis Toyota Hiace berusia 13 tahun turut parah manakala pemandunya tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata siasatan awal mendapati empat beranak itu dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Kuala Kangsar manakala van berkenaan juga dari arah yang sama.


ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31.8 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, semalam. - Foto ihsan bomba

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai membuat pusingan U menghala ke Gerik menyebabkan van berkenaan tidak dapat mengelak dan merempuh bahagian belakangnya.

Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tiga penumpang lain parah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala dua penumpang yang parah berusia 13 tahun dan seorang lagi mangsa yang belum dikenal pasti usianya, dihantar ke Hospital Taiping.

“Seorang lagi penumpang yang parah berusia 19 tahun dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut manakala penumpang van warga Thailand yang turut parah mendapatkan rawatan di negara asalnya,” katanya.

Ismail berkata, polis turut mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X