Jumaat, 29 March 2019 | 2:51am
Jenazah Muhamad Faezuan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, Kampung Jelawat, di Bachok, awal pagi ini. - NSTP/Nor Amalina Alias
Jenazah Muhamad Faezuan disembahyangkan di sebuah surau di Kampung Jelawat, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias

Jenazah Muhamad Faezuan selamat dikebumikan

BACHOK: Jenazah Muhamad Faezuan Nor Izzudin, 27, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, Kampung Jelawat, di sini, jam 1.34 pagi tadi.

Muhammad Faezuan antara lima yang maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung bas ekspres di Kilometer 325, Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu, berhampiran Kampung Jeram Busu, Raub, Pahang, jam 2.54 pagi semalam.

Terdahulu, jenazah yang dibawa dari Hospital Raub dengan diiringi dua kereta peronda daripada Balai Polis Bachok, tiba di kampung itu pada jam 1.10 pagi.

Sebaik tiba, jenazah disembahyangkan di madrasah berdekatan kubur itu dengan dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan arwah.

Suasana pilu mengiringi solat jenazah arwah apabila isterinya, Nor Asilah Arahim, 29, menangis teresak-esak sambil ditenangkan ahli keluarga.

Anak sulung pasangan itu, Maryam Medina yang baru berusia 62 hari turut dibawa ke surau berkenaan bagi melihat jenazah bapanya buat kali terakhir.

Ahli keluarga Faezuan, Nor Azila Abdullah, 43, berkata keluarganya bersyukur kerana urusan pengebumian anak kedua daripada enam beradik itu berjalan lancar walaupun hujan turun renyai-renyai seakan mengerti kesedihan yang dialami keluarga.


Isteri Allahyarham Muhamad Faezuan, Nor Asilah (tengah) ditenangkan ahli keluarga sebaik jenazah suaminya tiba di Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, Jelawat, Bachok. - NSTP/Nor Amalina Alias

Katanya, empat lagi ahli keluarga mereka yang maut iaitu pasangan suami isteri, Sobariah Harun, 54 dan suami, Mohd Sajury Abdullah, 63, dan anak angkat mereka, Uwais AlQurney, 6, serta sepupu mereka, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, akan dikebumikan jam 9 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam, Pasir Puteh.

“Jenazah mereka akan dikebumikan kemudian bagi menunggu kepulangan anak angkat pertama keluarga Allahyarham Sobariah, Amirul Khairul, 21, yang sedang belajar di Mesir.

“Arwah dan suaminya memang orang yang baik dan rapat dengan semua anak saudara, malah ahli keluarga yang berada di Kuala Lumpur turut menyukai arwah dan suami yang kerap membuat majlis makan-makan di rumahnya di Shah Alam,” katanya yang tinggal di Gua Musang.

Berita Harian X