Khamis, 28 March 2019 | 8:28pm
Gambar seorang kanak-kanak yang dipukul, viral di media sosial.

Wanita ditahan dera anak angkat

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menahan seorang wanita kerana disyaki melakukan penderaan ke atas anak angkatnya yang berusia tujuh tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata tangkapan ke atas suspek berusia 30 tahun itu dibuat di sebuah restoran di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, kira-kira jam 5 petang tadi oleh sepasukan anggota daripada JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Katanya, suspek ditahan susulan laporan dibuat seorang individu yang melihat video seorang kanak-kanak dipukul, viral di media sosial.

“Menerusi rakaman video terbabit, seorang kanak-kanak dilihat tunduk menangis apabila ditendang beberapa kali di bahagian badan oleh suspek.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku tahun lalu di Angsana Apartment, Taman Raintree, Batu Caves.

“Suspek yang ditahan beralamat di Damansara Damai, Petaling Jaya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, siasatan turut mendedahkan suspek sering memukul mangsa kerana mahu melepaskan geram terhadap suaminya yang juga bapa saudara mangsa.

“Bagaimanapun, suspek dan suaminya sudah bercerai awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon untuk mendapatkan perintah reman ke atas suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak.

Berita Harian X