Khamis, 28 March 2019 | 5:58pm
Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas terpelanting keluar dari kenderaan yang dipandu datuknya di Kilometer 10.6 Jalan Machang - Pasir Puteh, Machang. - NSTP/Ihsan Pembaca

Budak maut tercampak keluar dari kenderaan

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas tercampak keluar dari kenderaan akibat kemalangan di Kilometer 10.6 Jalan Machang - Pasir Puteh, Machang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Aufa Nadrah Muhamad Aisa meninggal dunia di lokasi kejadian apabila kenderaan yang dipandu datuknya, Zahari Ab Llah, 58, merempuh sebuah kereta sebelum terbalik dan berpusing beberapa kali.

Kenderaan jenis Nissan Navara yang dipandu Zahari itu kemudiannya terbabas ke bahu jalan bertentangan menyebabkan kanak-kanak terbabit terpelanting keluar, sebelum masuk ke dalam parit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain, berkata terdapat lapan penumpang termasuk pemandu dalam kenderaan terbabit dan mereka dalam perjalanan untuk menghadiri kenduri di Batu Mangkebang, Kuala Krai.

“Ketika kejadian, pemandu kereta jenis Perodua Myvi dari Muka Bukit hendak pulang ke rumahnya di Taman Animaz, Kampung Bechah Ulu Sat, Machang memberi lampu isyarat untuk membelok ke simpang sebelah kanan.

“Ketika kereta Perodua Myvi sedang membelok masuk ke simpang berkenaan, tiba-tiba Nissan Navara yang datang dari arah Pasir Puteh menghala ke Machang cuba memotong sebuah kenderaan lain, sebelum melanggar kenderaan di hadapannya itu.

“Pemandu Nissan Navara tidak dapat mengawal kenderaannya lalu terbalik dan berpusing beberapa kali sebelum terbabas ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Empat penumpang Nissan Navara iaitu isteri Zahari, Salma Abdullah, 56, anak mereka, Nur Balgis Nastasha, 15, seorang lagi cucu, Muhamad Wafiy Zulfa Zulkifli, 8, serta jiran, Aminah Idris, 57, cedera ringan.

Menantu Zahari yang juga ibu kepada kanak-kanak malang itu, Siti Asiah Hanis Hamzah, 27, cedera di kepala.

Zahari dan seorang lagi cucunya, Washfa Zulfa Zulkifli, 7, tidak cedera.

“Pemandu Perodua Myvi juga tidak cedera. Jenazah Aufa Nadrah dibawa ke Hospital Machang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X