Rabu, 27 March 2019 | 5:14pm
KETUA Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Polis rampas 190.7kg dadah bernilai RM9.53 juta

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah syabu menggunakan bungkusan teh Cina dengan nilai rampasan RM9.5 juta hasil dua serbuan di sekitar Iskandar Puteri, Isnin lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata serbuan dilakukan hasil soal siasatan ke atas empat suspek yang ditahan dalam serbuan di Ulu Tiram pada 19 Mac lalu.

Beliau berkata, hasil soal siasat dan intipan yang dilakukan, pihaknya menahan empat lelaki menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di sekitar Iskandar Puteri pada jam 1.30 petang,

Katanya, pemeriksaan membawa kepada penemuan dadah dipercayai syabu seberat 190.7 kilogram (kg) bernilai RM9.53 juta di dalam kenderaan berkenaan.

“Semua dadah itu dibungkus dalam bungkusan teh Cina, modus operandi sama seperti tangkapan sebelum ini.

“Selain merampas dadah dan kenderaan itu, kami memberkas empat ahli sindiket berusia antara 35 hingga 48 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata, kejayaan itu susulan siasatan daripada maklumat hasil tangkapan terbesar dadah jenis sama dengan jumlah rampasan sebanyak 2.06 tan bernilai RM103.2 juta di Ulu Tiram di sini, pada 19 Mac lalu.

Beliau berkata, polis percaya dadah itu untuk pasaran luar negara.

Katanya, keempat-empat suspek yang diberkas ditahan reman sehingga 31 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kami percaya dadah itu boleh menampung seramai 380,000 penagih.

“Kami menggandakan usaha dan bekerjasama dengan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Matirim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk membanteras pengedaran dadah.

“Keadaan masih terkawal namun kami menggesa orang ramai menyalurkan maklumat supaya kami dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

264 dibaca
Berita Harian X