Selasa, 26 March 2019 | 6:34pm
SAKSI, Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmud hadir untuk inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Sairien Nafis

Lakonan semula Muhammad Adib cedera ditayang ketika inkues

SHAH ALAM: Video lakonan semula pengunduran jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sehingga menyebabkan Muhammad Adib Mohd Kassim cedera seperti teori Jabatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), ditayangkan di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini.

Video berdurasi dua minit 50 saat itu dirakamkan bermula dengan perjalanan dua kenderaan itu ke lokasi kejadian berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Video berkenaan yang dibuat polis, dilakonkan semula oleh semua anggota bomba terbabit pada hari kejadian, 27 November tahun lalu.

Lakonan semula itu turut menggunakan dua kenderaan bomba yang sama, dan dibuat selepas 22 Disember tahun lalu.

Peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor, memohon video itu ditayangkan pada prosiding berkenaan.

Terdahulu, saksi ke-24, Pakar Perubatan Forensik HKL, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, memberitahu mahkamah bahawa video itu dirakam semula berdasarkan hasil input diperoleh beliau bersama Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmud, selepas melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

Beliau berkata, ia dilakukan bagi mengenal pasti bagaimana kecederaan yang dialami berlaku terhadap Muhammad Adib, selain diminta oleh pihak polis.

Bagaimanapun, ketika lakonan semula itu dirakam, beliau tidak ada di lokasi kejadian.

“Daripada hasil bedah siasat, saya membuat lawatan ke lokasi kejadian. Sebab itu, saya buat pandangan bagaimana berlaku pada si mati.

“Berdasarkan pandangan saya terhadap kecederaan yang ada, si mati keluar sendiri dari kenderaan itu,” katanya ketika memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Muhammad Adib, hari ini.

Jawapan itu menyebabkan Syazlin memohon baju seragam bomba yang dipakai Muhammad Adib pada hari kejadian, ditunjukkan kepada saksi berkenaan.

SYAZLIN: Berdasarkan uniform bomba, ada butang tercabut?

DR AHMAD HAFIZAM: Ada. Butang satu, dua dan empat.

SYAZLIN: Kalau ada orang tarik genggam di bahagian butang satu dan dua serta kawasan perut, adakah tinggalkan kesan?

DR AHMAD HAFIZAM: Yang pertama, adalah sangat sukar untuk tarik seseorang dalam kenderaan untuk tarik baju.

Yang kedua, jika tercabut tiga butang ini, paksaan ini akan mengakibatkan bukan sekadar butang tercabut, kemungkinan ada koyakan pada baju. Paksaan yang kuat di leher akan menyebabkan geseran pada leher di mana tidak dijumpai pada si mati.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad akan bersambung pagi esok.

Berita Harian X