Selasa, 26 March 2019 | 5:16pm

Ugut kapak isteri kerana tidak dibelikan kereta idaman

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak mengugut isterinya dengan kapak gara-gara tidak dibelikan kereta idaman dalam kejadian di Kampung Sapagaya Hilir, di sini.

Dalam kejadian jam 6 petang, Khamis lalu, lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan turut menampar isterinya selain mengugut akan membakar rumah mereka.

Difahamkan, suspek hilang sabar apabila isterinya yang berusia 45 tahun itu memberitahu dia tidak dapat membelikan kereta idaman suaminya kerana gagal mendapatkan pinjaman bank.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata mangsa hanya membuat laporan berhubung kejadian berkenaan, tengah hari semalam.

Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan polis segera dikerah ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek di rumah keluarga terbabit.

“Mengikut laporan, kejadian berlaku ketika mangsa yang baru pulang dari mengambil anak di sekolah. Suspek dikatakan bertanyakan mengenai urusan pembelian kereta yang diidamkan.

“Bagaimanapun, mangsa memaklumkan dia tidak mampu menunaikan permintaan suaminya itu ekoran sudah melebihi had kelayakan pinjaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, suspek yang berang kemudian menampar pipi mangsa dan bertindak agresif dengan mengambil kapak sebelum mengugut akan memotong mangsa serta membakar rumah mereka.

“Mangsa yang ketakutan kemudiannya melarikan diri ke rumah keluarganya sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

“Pasangan berkenaan berkahwin pada Februari tahun lalu dan difahamkan, suspek pernah memukul mangsa sebelum ini tetapi perkara itu tidak dilaporkan kepada polis,” katanya.

Nasri berkata, polis turut merampas kapak yang digunakan suspek dalam kejadian berkenaan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

Katanya, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X