Selasa, 26 March 2019 | 12:06pm
Dua suspek diiringi oleh pegawai SPRM selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskan mereka dengan jaminan berhubung kes skandal RM30 juta. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Siasatan skandal projek RM30 juta: 2 individu dibebas

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua individu termasuk seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan skandal projek badan berkanun itu dianggarkan bernilai lebih RM30 juta.

Selain pegawai kanan berusia 48 tahun itu, seorang lagi individu ialah pengarah urusan sebuah syarikat perundingan, berusia 52 tahun.

Majistret Ahmad Asyraf Mohamed Kamal membenarkan kedua-dua individu itu masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini kedua-dua individu itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secara berasingan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan 11 malam, Khamis lalu di ibu pejabat SPRM di sini selepas hadir memberi keterangan.

Kedua-duanya kemudian direman lima hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati pegawai kanan terbabit dan pengarah urusan itu bersubahat bersama-sama tiga lagi individu lain bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa sebuah suruhanjaya perkhidmatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, tiga individu lain iaitu pegawai kanan SSM dan dua pengarah syarikat teknologi maklumat (IT), dibebaskan pada Jumaat dan Sabtu lalu selepas turut direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

309 dibaca
Berita Harian X