Ahad, 24 March 2019 | 9:45pm

Barangan tiruan RM2.5 juta dilupus

KUALA LUMPUR: Pelbagai barangan rampasan berjenama tiruan bernilai RM2.5 juta dilupuskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Rosli Ahmad, berkata semua barangan berkenaan adalah hasil daripada 58 kes sitaan sejak tahun 2014 dengan yang terbaharu adalah tahun ini.

Katanya, barangan yang dilupuskan termasuklah beg tangan, beg galas, dompet, tali pinggang, kasut dan jersi berjenama terkenal seperti Gucci, Adidas, Converse, Louis Vuitton (LV), Chanel, Michael Kors, G-Shock dan sebagainya.

“Selain itu, aksesori wanita, kerusi urut dan produk kesihatan yang melanggar kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 turut dilupuskan hari ini.

“Ini adalah siri pelupusan bilangan ke-5 tahun ini yang mendapat arahan pelupusan daripada Mahkamah dan Pengawal Akta,” katanya pada sidang media Program Pelupusan Eksibit Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Ketua Seksyen Harta Intelek Bahagian Penguatkuasa, Low Swee Hon, Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Azeem Nazuri.

Sementara itu, Rosli berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 341 kes mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah dan pengawal membabitkan nilai rampasan sebanyak RM7.2 juta.

“Manakala, bagi tahun 2017 pula, sebanyak 624 kes membabitkan nilai rampasan RM11.2 juta berjaya memperoleh arahan pelupusan,” katanya.

Justeru, beliau memberi amaran kepada peniaga dan orang ramai untuk tidak menjalankan urus niaga barang tiruan atau bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.

“Hak intelek harus dilindungi dan KPDNHEP selaku ejen penguatkuasa akan menguatkuasakan perlindungan harta intelek.

“Kita sentiasa mendapat kerjasama daripada pemilik cap dagang untuk membuat pengesahan bagi setiap barang tiruan yang disita,” katanya.

ROSLI (tengah) melupuskan barangan tiruan yang dirampas pada Program Pelupusan Eksibit Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur. - Foto NSTP
ROSLI (tengah) melupuskan barangan tiruan yang dirampas pada Program Pelupusan Eksibit Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDNHEP Kuala Lumpur. - Foto NSTP
Berita Harian X