Ahad, 24 March 2019 | 5:04pm
Mohd Asri mendakwa kejadian kereta rasmi kegunaannya dibakar dalam satu kejadian di kediaman rasminya pada awal pagi kelmarin.

Suspek bakar kereta mufti dikenal pasti

KANGAR: Polis sudah mengenal pasti dua suspek yang dipercayai terbabit dengan kejadian kereta Mufti Perlis dibakar kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata kedua-dua lelaki tempatan terbabit akan ditahan tidak lama lagi.

Beliau berkata polis juga mengerahkan anggotanya untuk menjaga keselamatan Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan anggota keluarga dan pada masa sama menasihatkan Mufti berhati-hati kerana kedua-dua suspek masih belum diberkas.

Beliau berkata, polis sedaya-upaya berusaha memburu kedua-dua suspek berkenaan dan yakin mereka akan ditahan tidak lama lagi.

“Saya bukan berniat hendak takutkan beliau (Mohd Asri), tetapi ini adalah realitinya memandangkan situasi sekarang yang dilihat sedikit tegang dalam sehari dua ini.

“Ditambah pula semalam beliau sendiri mengesyaki kejadian yang menimpa ke atas dirinya adalah perbuatan pengganas dan pihak polis tidak boleh memandang ringan dakwaan itu meskipun motif kejadian lebih terjurus kepada unsur khianat dan dendam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Mohd Asri mendakwa kejadian kereta rasmi kegunaannya dibakar dalam satu kejadian di kediaman rasminya pada awal pagi kelmarin adalah satu aktiviti keganasan.

Untuk rekod, kejadian jenayah berbaur ugutan dan ancaman yang membabitkan golongan agamawan di Perlis adalah kali kedua sejak tahun lalu.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan parah di muka pada awal September lalu selepas diserang oleh penjenayah dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pedang samurai yang memecah masuk rumahnya.

Berita Harian X