Sabtu, 23 March 2019 | 12:27pm

Dua individu termasuk pegawai kanan SSM bebas reman

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua individu termasuk pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sebelum ini direman lima hari bagi membantu siasatan skandal projek badan berkanun itu dianggarkan bernilai lebih RM30 juta.

Selain pegawai kanan itu, seorang lagi individu ialah pengarah syarikat teknologi maklumat (IT).

Majistret Md Bukhori Md Roslan membenarkan pegawai kanan SSM itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pengarah syarikat IT itu dengan jaminan RM30,000, dengan seorang penjamin.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret di sini kira-kira jam 10.10 pagi dengan tangan bergari dan memakai baju lokap SPRM.

Sementara itu, seorang lagi pengarah syarikat IT yang direman berhubung kes sama sudah dibebaskan semalam dengan jaminan SPRM.

Pada Selasa lalu, ketiga-tiga individu itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini sumber berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan kira-kira jam 11 pagi pada Isnin lalu di pejabat dan rumah mereka di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara.

Katanya, pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan bersubahat dengan dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, dua pengarah syarikat terbabit pula dipercayai mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.

Semalam, dua lagi suspek iaitu pegawai kanan SSM dan seorang pengarah syarikat perundingan IT juga direman lima hari sehingga 26 Mac ini membabitkan kes sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

251 dibaca
Berita Harian X