Sabtu, 23 March 2019 | 9:42am
PASUKAN bomba dan penyelamat melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam insiden kemalangan di Kilometer 228.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan malam tadi. - Foto BERNAMA

Identiti penumpang bas maut dikenal pasti

TAIPING: Identiti seorang penumpang bas yang maut dalam kemalangan membabitkan bas di Kilometer 228.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Bukit Berapit di sini, semalam, dikenal pasti sebagai wanita warga Thailand, Jaroen Muangkhot, 60.

Dalam kemalangan jam 6.45 petang itu, mayat wanita warga emas itu berjaya ditemui kira-kira jam 10.40 malam tadi selepas mangsa dihempap bas berkenaan yang terbalik ke dalam gaung dan usaha mengangkat bas terbabit berjaya dilakukan dengan menggunakan dua kren.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata siasatan awal mendapati bas dipandu seorang lelaki membawa seramai 20 penumpang itu dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand menuju ke Singapura.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dan sebuah kereta Proton Iswara bergesel menyebabkan bas berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang bas warga Thailand maut di lokasi kejadian, manakala lima penumpang bas cedera dan penumpang lain termasuk pemandu Proton Iswara tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat, manakala semua mangsa cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

Osman berkata, pemandu Proton Iswara, seorang wanita berusia 40 tahun sudah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

BH malam tadi melaporkan seorang penumpang bas persiaran warga Thailand berusia 60 tahun maut dalam kemalangan itu selepas dihempap bas berkenaan yang terbalik ke dalam gaung.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, operasi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah bas berkenaan terpaksa menggunakan dua kren.

“Bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian bawah bas, dua kren terpaksa digunakan untuk mengangkat bas berkenaan sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Bomba kemudian membuat pemeriksaan di dalam bas bagi memastikan tiada lagi mangsa sebelum operasi ditamatkan jam 11.57 malam,” katanya.

Berita Harian X