Jumaat, 22 March 2019 | 10:44pm
SEBUAH bas persiaran terbabit kemalangan dan terbabas ke dalam gaung di Kilometer 228.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bukit Berapit dari Changkat Jering menuju Kuala Kangsar. - NSTP/Effendy Rashid

TERKINI: Seorang penumpang maut bas jatuh gaung

TAIPING: Seorang maut manakala 20 cedera termasuk tiga parah apabila sebuah bas persiaran terhumban ke dalam gaung di Kilometer 228.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, dekat Bukit Berapit, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu, seorang wanita warga emas dari Thailand maut dihempap bas yang terbalik dalam gaung terbabit manakala 20 lagi mangsa termasuk seorang pemandu cedera.

Mayat mangsa berusia 60-an itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan penyelamat kira-kira jam 10.40 malam tadi selepas menggunakan dua kren untuk mengangkat badan bas itu.

Sebelum itu, seorang wanita warga Thailand berusia 40-an mendakwa ibunya gagal ditemui sejurus selepas kemalangan berlaku dan enggan ke hospital walaupun cedera kerana ingin menunggu di lokasi kemalangan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan ibunya.

Sementara itu, seorang penumpang Wong Chien Cheng, 55, berkata dia dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas bercuti bersama beberapa ahli keluarga dan rakan di Hatyai selama satu hari.

"Ketika kejadian saya rasakan bas seperti tidak stabil sebelum terus hilang kawalan dan terbabas serta terbalik.

"Saya cedera di bahagian belakang akibat hentakan kerusi bas," katanya yang ditemui di lokasi kemalangan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 6.57 petang dan sepasukan anggota dengan satu jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) digerakkan.

"Setibanya pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas yang terbabas ke dalam gaung.

"Maklumat awal mendapati terdapat 21 mangsa dalam operasi menyelamat sedang dijalankan dan kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan," katanya.

2559 dibaca
Berita Harian X