Jumaat, 22 March 2019 | 5:38pm
KEADAAN kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dibakar pada bahagian bonet dan cermin hadapan dipecahkan dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Persiaran Wawasan di Kangar, pagi tadi. - Foto ihsan polis

2 lelaki suspek bakar kereta Mufti Perlis diburu

KANGAR: Polis sedang memburu dua lelaki disyaki terbabit dalam kejadian kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dibakar di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata kedua-dua suspek dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memasuki kawasan kejiranan Mohd Asri pada jam 5.12 pagi tadi.

Katanya, perbuatan dua suspek itu jelas dirakam CCTV milik salah seorang jiran Mohd Asri, yang menyerahkan rakaman itu bagi diteliti polis sejurus selepas kejadian.

“Salah seorang daripada suspek turut dirakam melalui CCTV sedang membeli petrol di sebuah stesen minyak berdekatan rumah Mohd Asri pada jam 3.30 pagi dengan menaiki kereta.

“Suspek yang memandu kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu dilihat mengisi minyak ke dalam tong yang diperbuat daripada plastik,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian pagi tadi, kereta rasmi jenis Honda Accord Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan, dipercayai perbuatan khianat pihak tertentu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk solat Subuh kira-kira jam 6 pagi tadi.

Noor Mushar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.

Berita Harian X