Jumaat, 22 March 2019 | 3:33pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 287.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Pulai, Ipoh, hari ini. - Foto ihsan bomba

Pemandu maut rempuh belakang lori

IPOH: Seorang pemandu lori berusia 20 tahun maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori syarikat kawalan keselamatan di Kilometer 287.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur keluar Plaza Tol Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, S Kalaiarasu, yang beralamat di Taman Dindings, Ayer Tawar, Manjung, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kelindannya Palani Deena, 18, parah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kemalangan membabitkan dua lori jenis Isuzu dan Hino yang bergerak dari arah sama menuju ke utara.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku berhampiran susur Plaza Tol Simpang Pulai, di mana lori dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lagi lori hingga terheret ke lorong kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan besi di lorong kanan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kelindannya mengalami kecederaan pada tangan dan kaki dirawat yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pemandu sebuah lagi lori, lelaki berusia 29 tahun dari Taman Klebang Putra, Chemor, di sini hanya luka kecil pada bahagian bibir.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB dan sudah selesai dibedah siasat dan mayatnya diserahkan kepada waris.

“Punca kematian adalah kecederaan pada dada serta kepala dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X