Jumaat, 22 March 2019 | 1:17pm

Terlalu awal buat kesimpulan punca kemalangan - MAHB

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyifatkan terlalu awal untuk mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan berhubung punca kemalangan membabitkan sebuah kereta unit kejuruteraannya dengan sebuah pesawat peribadi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang dekat sini, Isnin lalu.

MAHB berkata, ini kerana kerana siasatan belum selesai.

“Siasatan kini sedang dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan pada peringkat ini, justeru kita menggesa media dan orang ramai supaya tidak membuat apa-apa spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan sepenuhnya oleh pihak berkuasa,” kata MAHB menerusi kenyataan, semalam.

Kenyataan MAHB itu susulan dakwaan Pengerusi Eksekutif Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan mendakwa juruterbang pesawat Berjaya Air sudah mengikuti semua prosedur pengendalian, pendaratan serta turut mendapat kebenaran mendarat daripada menara kawalan LTSAS.

Vincent yang mengesahkan pesawat peribadi yang terbabit dalam insiden itu adalah milik Berjaya Air menegaskan juruterbang pesawat terbabit tidak sepatutnya dipersalahkan tapi pihak pengurusan lapangan terbang yang perlu bertanggungjawab.

Katanya, tanggungjawab kesalahan bagi kejadian ini sepatutnya terletak pada pihak berkuasa lapangan terbang.

“Mereka sepatutnya memberi amaran awal mencukupi kepada pesawat yang dalam perjalanan masuk ke lapangan terbang mengenai kerja penyelenggaraan yang sedang dilakukan di landasan atau menutup terus lapangan terbang.

“Tiada amaran sedemikian diberikan dan saya berpendapat pihak berkuasa lapangan terbang cuai serta berharap kejadian ini membuka mata pihak terbabit supaya ia tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Sementara itu, Berjaya Air dalam satu kenyataan memaklumkan jet peribadi yang terbabit dalam insiden itu terbang dan mendarat sesuai dengan pelan penerbangan yang dikemukakan dan diluluskan Pusat Kawalan Lalu Lintas Udara, sebelum ia dijadualkan mendarat.

“Menara di lapangan terbang memberi kebenaran kepada juruterbang untuk mendarat dan tidak ada ‘Notice to Airmen’ atau NOTAM yang dikeluarkan untuk memaklumkan bahawa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di landasan.

“Tidak ada suar atau lampu amaran untuk memberi amaran kepada krew bahawa adanya kehadiran pekerja penyelenggaraan atau halangan lain di landasan.

“Malah, pesawat itu sudah mendarat dan kelajuannya sudah berkurangan ketika ia bertembung dengan kenderaan penyelenggaraan,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun pemandu kereta, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, meninggal dunia.

Sehari selepas kejadian, Mohd Ruzaimi disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang, ketika menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.

344 dibaca
Berita Harian X