Khamis, 21 March 2019 | 11:11pm
DATUK Kamarudin Jaffar (kiri) menyampaikan Anugerah Terbaik Keseluruhan kepada Akmal Afiq Shahidan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas di Kompleks Bunga Raya. - Foto BERNAMA

Siasatan Kemalangan di LTSAAS dijangka siap sebulan

SEPANG: Siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara berhubung kemalangan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS) yang menyebabkan seorang kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) maut, dijangka siap dalam masa sebulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan siasatan.

“Penyiasatan berhubung kemalangan itu masih dijalankan kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan MAHB di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, kakitangan MAHB, Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah pesawat persendirian di landasan LTSAAS, Subang.

Mangsa menghembuskan nafas terakhir kelmarin ketika dirawat di sebuah hospital swasta. - BERNAMA

176 dibaca
Berita Harian X