Khamis, 21 March 2019 | 6:04pm
WARGA Filipina dibawa anggota Polis untuk didakwa dibawah seksyen 509 kanun keseksaan kerana memanjat keatas sebuah kenderaan dalam keadaan berbogel di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pondan bogel ditahan di penjara

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berperwatakan wanita yang viral berbogel sambil melakukan aksi lucah di sekitar Jalan Imbi minggu lalu terpaksa masuk penjara selepas Mahkamah Majistret di sini, hari ini tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana adalah warga asing.

Terdahulu, Kent Caburnay Acuin, 29, warga Filipina, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret kali ini atas tuduhan memanjat kereta dalam keadaan berbogel.

Dia yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T kelabu dan hitam, selain rambutnya dicukur botak, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Rahmi Kartini Abd Karim,

Berdasarkan kertas pertuduhan, Acuin didakwa memanjat kereta Honda City, dalam keadaan berbogel dengan niat mengganggu kesantunan seseorang di Jalan Sultan Ismail, di sini, jam 10.40 pagi, pada 13 Mac lalu.

Tertuduh yang berasal dari Cebu, Filipina itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, B Rajdeep Singh, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, Acuin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan berkelakuan tidak sopan, di tempat, masa dan tarikh sama.

Minggu lalu, video dan gambar lelaki itu, yang tidak berpakaian berjalan di tengah jalan raya sekitar Jalan Barat off Jalan Imbi, tular di laman sosial.

Lelaki terbabit turut didapati berdiri di atas sebuah kereta sebelum menuju ke arah kereta lain.

Ada beberapa ketika dia menuju ke tepi dan tengah jalan, menuju ke arah tiang lampu serta melakukan aksi lucah.

Orang ramai yang melihat kejadian berkenaan kemudian memaklumkannya kepada pihak polis.

6315 dibaca
Berita Harian X