Khamis, 21 March 2019 | 2:11pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Siasatan kakitangan MAHB dirempuh pesawat siap sebulan

KUALA LUMPUR: Laporan awal berhubung insiden kereta unit kejuruteraan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dirempuh pesawat swasta Isnin lalu, akan diperoleh dalam tempoh 30 hari.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata laporan itu antara lain dijangka merangkumi pihak bertanggungjawab terhadap insiden di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang menyebabkan seorang kakitangan MAHB meninggal dunia.

Katanya, tiada kesimpulan boleh diputuskan buat masa ini selagi siasatan terperinci berhubung kejadian belum dimuktamadkan.

“Siasatan sudah bermula dan laporan awal akan selesai dalam tempoh 30 hari. Jadi kita akan lihat siapa yang bertanggungjawab dalam insiden ini.

“Sebelum siasatan selesai, kita tidak boleh buat kesimpulan. Namun, kementerian akan beri perhatian menerusi Bahagian Siasatan Kemalangan Udara yang diarah beri laporan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Loke mengulas insiden membabitkan seorang kakitangan MAHB yang maut selepas kereta unit kejuruteraan MAHB dipandunya, dirempuh sebuah pesawat swasta di LTSAAS, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, pengendali pesawat dipercayai kehilangan kawalan ketika mahu mendarat, lalu merempuh bahagian hadapan kereta itu.

Penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tetapi Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali, 39, yang memandu kereta, dilaporkan cedera parah.

Mangsa dihantar ke hospital swasta untuk rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia jam 6.45 petang kelmarin.

Berita Harian X