Rabu, 20 March 2019 | 1:38pm
Jumlah ganti rugi akan diterima kartunis Zunar yang dilarang mengedar dan menjual bukunya, ‘Sapuman: Man of Steal’ oleh Menteri Dalam Negeri pada tahun lalu, akan diketahui 4 April depan. - Arkib NSTP

Ganti rugi larangan buku Sapuman diketahui bulan depan

KUALA LUMPUR: Jumlah ganti rugi akan diterima kartunis Zunar yang dilarang mengedar dan menjual bukunya, ‘Sapuman: Man of Steal’ oleh Menteri Dalam Negeri pada tahun lalu, akan diketahui 4 April depan.

Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini, Penolong Kanan Pendaftar Firdaus Sidqi Sharil Azli menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Zaid Malek mewakili Zunar, dan Peguam Kanan Persekutuan Jamilah Jamil untuk Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku responden.

Zaid ketika ditemui pemberita selepas prosiding pendengaran taksiran ganti rugi, berkata pihaknya berhujah mengenai taksiran ganti rugi am dan khas yang sepatutnya diterima anak guamnya berikutan larangan itu.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque selaku pemohon memperoleh kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman pada 12 Februari 2017 bagi mendapatkan perintah antaranya, untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Oktober 2017 berhubung larangan terhadap buku berkenaan.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa perintah itu tidak sah kerana bertentangan Perlembagaan Persekutuan dan bersifat ultra vires (melanggar) peruntukan Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Melalui afidavit sokongannya, Zunar berkata, beliau melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu politik semasa di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, pada 13 September 2015.

Kartunis itu mendakwa, Menteri Dalam Negeri melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 3 Oktober tahun lalu, mewartakan perintah mengikut Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bahawa percetakan, pengimportan, penghasilan, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan buku itu dilarang di seluruh Malaysia.

Bagaimanapun, pada 9 Ogos 2018, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membatalkan perintah larangan terhadap buku itu.

Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa Menteri Dalam Negeri yang dinamakan sebagai responden membayar ganti rugi berikutan Zunar tidak dapat menjual buku karyanya sepanjang tempoh larangan.

315 dibaca
Berita Harian X