Rabu, 20 March 2019 | 1:06pm
Keadaan kereta unit kejuruteraan MAHB dipandu Muhamad Ruzaimi Iskandar dirempuh sebuah pesawat swasta di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.
Kemalangan sebuah pesawat swasta dengan sebuah kenderaan kejuruteraan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

Polis buka siasatan kes kematian kakitangan MAHB

KUALA LUMPUR: Polis Selangor sudah membuka kertas siasatan berhubung kematian kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Mohd Ruzaimi Iskandar Ahmad Razali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata, siasatan kes dibuat sejurus mangsa dilaporkan meninggal dunia, petang semalam mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.

Susulan itu, katanya, polis sedang memanggil semua pihak yang terbabit untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan sebelum tindakan lanjut dibuat.

“Pada peringkat awal, siasatan kes ini dibuat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kita juga turut membuka kertas inkuiri polis selepas menerima laporan kemalangan terbabit.

“Bagaimanapun, apabila mangsa meninggal dunia kita buka kertas mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan bagi melihat sama ada kejadian membabitkan unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Bagaimanapun, Fadzil berkata, setakat ini pihaknya masih belum boleh membuat sebarang kesimpulan atau kenyataan lanjut kerana siasatan baru dimulakan.

Katanya, tindakan lanjut hanya akan dibuat bergantung kepada hasil siasatan itu nanti.

Mohd Ruzaimi Iskandar, 39, yang parah disahkan meninggal dunia jam 6.45 petang semalam, ketika menjalani rawatan intensif di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya, iaitu sehari selepas kejadian pada awal pagi Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, kereta unit kejuruteraan MAHB dipandu Muhamad Ruzaimi Iskandar dirempuh sebuah pesawat swasta di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

Pesawat itu dipercayai hilang kawalan ketika mahu mendarat di LTSAS lalu lalu merempuh bahagian hadapan cermin dan bumbung kereta itu.

Penumpang dan anak kapal terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan, bagaimanapun Ruzaimi yang parah dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk rawatan.

Mangsa meninggalkan isteri, Nor Azawiah Md Usuf dan empat anak berusia antara setahun hingga 13 tahun.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Batu Gajah, Perak untuk dikebumikan.

Berita Harian X