Rabu, 20 March 2019 | 9:42am
Mohammad Firdaus ditemui pasukan bomba dan penyelamat di sungai Kampung Tebing Tinggi, malam tadi. - Ihsan Bomba Kelantan

Sempat minta belanja nasi ayam

PASIR PUTEH: “Sebelum ini dia tak pernah minta apa-apa, tapi malam sebelum kejadian, dia minta saya belanja nasi ayam,” kata abang kepada Mohammad Firdaus Ismail, 15, yang lemas dalam kejadian di sungai Kampung Tebing Tinggi, di sini, malam tadi.

Mohammad Zulkifli, 20, tidak menyangka itu adalah kenangan terakhir mereka sekeluarga bersama arwah.

Katanya, mereka sekeluarga sempat menikmati nasi ayam di kedai di Semerak, Pasir Puteh dan adiknya kelihatan sangat gembira.

“Petang semalam Firdaus keluar rumah bersama seorang lagi abangnya, Mohammad Ezri Syam, 17, kira-kira jam 6 petang untuk berjoging.

“Tidak lama kemudian, Ezri pulang dalam keadaan cemas dan memaklumkan adiknya, Firdaus lemas di sungai.

“Saya terus ke sungai dan ketika sampai, rakan mereka yang ada di situ beritahu adik saya baru saja tenggelam.

“Saya terus terjun dan cuba mencari adik namun tidak menemuinya, hampir sejam juga saya mencari,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Tengku Anis, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Firdaus adalah anak kesembilan daripada 10 beradik, dan disifatkan sebagai seorang adik yang ceria serta anak yang baik kepada ibunya, Samsiah Sulaiman, 53.

Mohammad Zulkifli berkata, adiknya yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai memang selalu keluar berjogging bersama abangnya, Ezri dan rakan-rakan.

“Arwah memang suka berjogging dan sering ke kawasan sungai itu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Binjai, Semerak.

“Lima tahun lalu, saya pernah menerima anugerah wira kerana pernah menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Melawi,Bachok, tapi hari ini, siapa sangka, adik kandung sendiri meninggal akibat lemas.

“Namun kami sekeluarga reda walaupun masih terkejut dengan kejadian,” katanya yang sedang bercuti lepas menamatkan latihan ketenteraan dan akan mula bertugas di kem tentera di Johor.

Sementara itu, Guru-guru dan Pengetua SMK Sungai Petai, Zulkifli Mohd Noor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim turut hadir ke bilik mayat bagi menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Dalam kejadian petang semalam, mayat Firdaus ditemui jam 9.09 malam oleh Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

Mayat mangsa ditemui pada kedalaman tiga meter iaitu kira-kira 11 meter daripada tebing sungai dan dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebing Tinggi jam 11 pagi ini.

Berita Harian X