Rabu, 20 March 2019 | 8:47am
Seorang pemandu pacuan empat roda yang dicari polis dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit sejurus kemalangan yang mengorbankan seorang wanita warga emas di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan, Tawau. - Ihsan PDRM
Keadaan kereta PROTON Iswara yang bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan,Tawau. - Ihsan PDRM

Polis kesan pemandu pacuan empat roda

TAWAU: Polis mengesan pemandu pacuan empat roda yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di Kilometer 48 Jalan Tawau-Kalabakan dekat sini, sejurus kemalangan yang mengorbankan seorang wanita, semalam.

Turut dipercayai melarikan diri ialah seorang penumpang pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berwarna putih itu.

Dalam kemalangan pada jam 7.15 pagi, Sairah Hassan, 71, maut selepas PROTON Iswara yang dinaiki bersama dua ahli keluarganya bertembung dengan pacuan empat roda terbabit di laluan berkenaan.

Mangsa yang parah di bahagian kepala dikejarkan ke Klinik Kesihatan FELDA Umas, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata dua ahli keluarga mangsa termasuk pemandu, masing-masing berumur 36 dan 59 tahun cedera ringan, manakala pemandu pacuan empat roda bersama penumpang dipercayai menghilangkan diri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fadil berkata, nahas itu dipercayai berlaku apabila PROTON Iswara dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah FELDA Umas ke bandar Tawau gagal memotong sebuah lori sebelum bertembung dengan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Katanya, akibat pertembungan itu, kereta dinaiki mangsa berpusing sebelum terbabas sejauh 18.8 meter ke lorong kanan menghala ke FELDA Umas, sementara pacuan empat roda terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.

Berita Harian X