Selasa, 19 March 2019 | 5:45pm
Saksi awam, Budd Mohsin, 24 selepas menghadiri inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Kompleks Mahkamah Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Inkues kematian Muhammad Adib: Saksi dakwa mangsa dihimpit van EMRS

SHAH ALAM: Seorang warga Pakistan memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini, dia melihat Muhammad Adib Mohd Kassim terjatuh selepas dihimpit kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan ketika insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman USJ Subang, November tahun lalu.

Budd Mohsin, 24, saksi ke-20 inkues bagi mengetahui punca kematian Muhammad Adib, 24, yang disambung semula hari ini, mendakwa dia melihat kejadian itu ketika jentera Fire Rescue Tender (FRT) bomba mengundur lalu melanggar van EMRS yang berada di belakangnya selepas kenderaan itu secara tiba-tiba diserang sekumpulan orang awam.

Dia juga mendakwa, apabila FRT mengundur, EMRS yang dilanggar itu turut mengundur dan menghimpit Muhammad Adib ke sebuah kereta.

“Mangsa terjatuh dalam keadaan terlentang. Ketika itu, keadaan kaki mangsa menuju ke arah (stesen minyak) Caltex yang ada berhampiran,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah.

Juruteknik pendingin hawa itu juga memaklumkan, selepas anggota bomba itu jatuh terlentang, dia melihat sekumpulan orang awam seperti mahu menyerang Muhammad Adib dan pada masa sama, turut melihat ada beberapa orang cuba membantu dan mengangkat mangsa.

HAMDAN: Pada masa itu, kamu boleh cam muka anggota yang terhimpit dan terjatuh?

BUDD: Saya tak berapa cam.

HAMDAN: Kamu kata Adib, Adib. Mana kamu tahu orang itu Adib?

BUDD: Saya tahu daripada berita.

HAMDAN: Kemudianlah, selepas kejadian. Kamu tahu?

BUDD: Ya, lepas itu baru saya dapat tahu.

Budd yang sudah empat tahun bekerja di negara ini, berkata sebelum itu, dia melihat jentera FRT diikuti van EMRS tiba di lokasi rusuhan bagi memadamkan kebakaran kereta.

Selain itu, katanya, dia juga melihat dua anggota bomba turun dari jentera FRT dan Muhammad Adib keluar dari tempat duduk penumpang van EMRS.

Bagaimanapun, warga Pakistan itu berkata, seorang anggota bomba yang turun dari FRT menaiki semula jentera itu selepas melihat sekumpulan orang awam menuju ke arah dua kenderaan bomba berkenaan.

“Saya lihat seorang anggota bomba yang berdiri di bahagian tepi antara lori (FRT) dengan van (EMRS) lari ke arah van dan masuk ke dalam van sebelum menutupnya.

“Anggota bomba yang keluar dari van tidak sempat naik semula ke dalam van kerana sudah ditutup. Saya lihat dia tengok (menghala) ke arah Caltex. Secara pantas, dia nak larikan diri. Kedudukan dia masih berada di sebelah kiri tayar belakang van EMRS,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota bomba EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, meninggal dunia selepas mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Hari ini, prosiding memasuki hari ke-13 dan seramai 20 saksi sudah dipanggil. Dijangka, seramai 30 saksi terbabit sepanjang inkues yang akan tamat pada April depan.

3109 dibaca
Berita Harian X