Isnin, 18 March 2019 | 8:41pm
Kemalangan sebuah pesawat dengan sebuah kenderaan kejuruteraan di landasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang. - Foto NSTP

Pesawat rempuh kereta MAHB

SUBANG: Seorang kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) parah selepas kereta unit kejuruteraan MAHB dipandunya dirempuh sebuah pesawat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.20 pagi itu, pesawat milik swasta terbabit dipercayai hilang kawalan ketika mahu mendarat sebelum merempuh bahagian hadapan cermin dan bumbung kereta itu.

MAHB dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pemandu kereta itu ketika ini menjalani proses pembedahan di sebuah hospital berdekatan.

“Kita akan memastikan dia akan menerima rawatan yang terbaik, pihak MAHB juga mendoakan mangsa segera pulih.

“Penumpang dan anak kapal terbabit pula dilaporkan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

MAHB memaklumkan, kejadian itu mengakibatkan gangguan perjalanan beberapa pesawat lain yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang berkenaan.

Katanya, ia berikutan kakitangan memerlukan masa untuk membersihkan serpihan kapal terbang dan kereta di laluan pendaratan.

“Operasi penerbangan kembali seperti biasa bermula jam 9 pagi tadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MAHB menubuhkan pasukan penyiasatan dengan kerjasama Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi merungkai punca kejadian itu.

“Kementerian Pengangkutan juga sudah mengaktifkan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan isu berbangkit,” katanya.

Berita Harian X