Ahad, 17 March 2019 | 3:54pm

Polis ada petunjuk dalang pencemaran Sungai Kim Kim

PASIR GUDANG: Polis sudah memiliki petunjuk bagi memberkas suspek utama terbabit dengan pencemaran Sungai Kim Kim di sini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memperhebat usaha mengesan dan memberkas suspek berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan perkara itu secara terperinci kerana masih dalam siasatan dan operasi pihak polis.

“Polis ada petunjuk agak jelas dan usaha mengesan (suspek) kini diperhebat, kami harap orang ramai memberi kerjasama termasuk mengawal aspek keselamatan.

“Sebanyak sembilan lokasi sekatan jalan raya dibuat sekitar Pasir Gudang dengan menempatkan tiga platun membabitkan 150 anggota.

“Lori yang berkaitan juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan tertentu bagi perkara ini (pencemaran) berulang,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Rawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Mohamad Fuzi berkata, sejak pencemaran Sungai Kim Kim mula berlaku pada 7 Mac lalu, sebanyak 76 laporan polis diterima setakat tengah hari tadi.

“Laporan dibuat mangsa dan keluarga mangsa berhubung pencemaran udara di Pasir Gudang dan jumlah (laporan) dijangka terus meningkat,” katanya.

1413 dibaca
KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melawat Pusat Rawatan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini. - Foto Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X