Sabtu, 16 March 2019 | 9:14pm
Nur Aiman Hakim meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di Chabang Empat. - Ihsan pembaca

Pelajar maut rempuh kereta dipandu remaja 16 tahun

TUMPAT: Pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh kereta di Chabang Empat, Tumpat, malam tadi.

Dalam kejadian 10.15 malam, mangsa, Nur Aiman Hakim Khairul Anuar, 17, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Pengkalan Kubor ke rumahnya di Kampung Delima, Wakaf Bharu.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kereta memberikan isyarat untuk membelok ke kanan sebelum menghentikan kenderaannya.

“Ketika membelok, mangsa yang berada di belakang tidak sempat mengelak dan terus melanggar kereta terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemandu kereta berusia 16 tahun tidak cedera.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita Harian X