Sabtu, 16 March 2019 | 7:31pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. - NSTP/Danial Saad

Tiada aduan kesan pencemaran kimia di ladang kelapa sawit

BUKIT MERTAJAM: Penemuan pelbagai jenis bahan kimia yang dibuang di ladang kelapa sawit di Bukit Teh di sini, semalam, dipercayai tidak menjejaskan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata ia berikutan tiada sebarang laporan berkaitan kesan daripada bahan kimia itu dibuat oleh penduduk setempat di situ, setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, polis hanya menerima laporan daripada seorang pemilik ladang berusia 72 tahun yang memaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“Menurut pemilik ladang berkenaan, dia menyedari banyak tong biru dipercayai mengandungi bahan kimia, dipercayai dibuang sejak awal bulan ini selepas dimaklumkan pekerjanya.

“Ia mendatangkan kebimbangan kepada pemilik ladang terbabit dan mendorongnya membuat laporan polis serta memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai penemuan itu,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan terdapat pelbagai jenis bahan kimia yang  dibuang di ladang kelapa sawit berkenaan, dipercayai sejak awal bulan ini.

 

Sehingga kini, pemeriksaan yang dijalankan gagal mengenal pasti jenis bahan kimia berkenaan berikutan ia sudah bercampur antara satu sama lain.

Nik Ros Azhan berkata, pemilik ladang itu membuat laporan bagi mengenal pasti individu yang terbabit dengan pembuangan bahan kimia berkenaan.

“Pemilik itu mendakwa tong dibuang dalam satu kawasan lubang yang terdapat dalam ladang berkenaan dan tidak tahu siapa pelakunya, selain mahu siasatan dijalankan kerana bimbang ada kejadian tidak diingini,” katanya.

70 dibaca
Berita Harian X