Jumaat, 15 March 2019 | 8:52pm
BAHAN buangan klinikal seperti tiub darah dan alat penapis atau dializer dipercayai daripada rawatan dialisis ditemui dibuang di tempat pelupusan sampah haram di Kampung FELDA Sendayan. - Foto ihsan JAS

Sisa klinikal dialisis dibuang sesuka hati

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan menyiasat 29 klinik dialisis swasta di negeri ini, selepas menemui bungkusan klinikal rawatan dialisis di Kampung FELDA Sendayan di sini, minggu lalu.

Pengarahnya, Norhazni Mat Sari, berkata bukti penemuan setakat ini hanya menjurus kepada sebuah klinik di Seremban 2, namun siasatan lanjut masih dilakukan.

Katanya, JAS giat mengumpulkan semua maklumat sebelum membuat kesimpulan.

“Saya berharap insiden seperti ini tidak berulang dan menasihati pengurusan hospital dan klinik supaya menguruskan bahan buangan klinikal di lokasi pelupusan ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Norhazni berkata, JAS sudah membersihkan lokasi pembuangan dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 34 (B), Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi tujuan pendakwaan.

Minggu lalu dilaporkan, bahan buangan klinikal seperti tiub darah dan alat penapis atau dializer dipercayai daripada rawatan dialisis ditemui dibuang di tempat pelupusan sampah haram di Kampung FELDA Sendayan, di sini.

Tapak pelupusan itu ditemui sepasukan pegawai dan kakitangan JAS yang menjalankan siasatan selepas menerima aduan.

268 dibaca
Berita Harian X