Jumaat, 15 March 2019 | 7:00pm

Keluarga berharap Rahimi selamat

BALIK PULAU: Keluarga Rahimi Ahmad berharap juruteknik kilang susu yang terbabit dalam kejadian tembakan rambang di dua masjid di Christchurch, New Zealand, dalam keadaan stabil.

Ibunya, Rokiah Mohammad, 65, berkata pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang maklum balas berhubung kejadian itu, selain bimbang akan keselamatan Rahimi, 39, dan keluarganya.

“Menantu, Nor Azila Mohammad, 39, ada menghubungi mak cik untuk memaklumkan bahawa anaknya, Ahmad Razif, 11, berjaya diselamatkan orang ramai yang ada berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 2 petang tadi.

“Bagaimanapun, dia (Nor Azila) memaklumkan masih gagal mengenal pasti keadaan dan lokasi tepat Rahimi, selain kita masih menunggu perkembangan terkini daripada menantu.

“Saya berharap dapat diberi peluang melawat keadaan anak dan keluarganya di sana, jika kerajaan bersedia menaja perbelanjaan untuk ke New Zealand,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh dalam kejadian tembakan rambang di New Zealand itu sehingga jam 3 petang tadi.

Pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), kejadian tembakan dilaporkan berlaku di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, yang mengorbankan 40 nyawa dan lebih 20 orang cedera termasuk dua rakyat Malaysia.

Kerajaan New Zealand turut mengumumkan Christchurch ditutup susulan insiden itu.

Rahimi yang juga anak ketiga daripada lima beradik itu menetap di New Zealand bersama isterinya, Nor Azila yang kini sedang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan serta dua anak mereka, Ahmad Razif dan Nur Faiqah, 9, sejak 2014.

Dalam pada itu, Rokiah berkata, anaknya itu sering menghubunginya untuk bertanya khabar mengenai ahli keluarganya yang masih menetap di Malaysia dengan panggilan terakhir diterima daripada Rahimi, kelmarin.

“Dalam panggilan sama (kelmarin), Nor Azila juga ada memaklumkan lulus dalam peperiksaan berkaitan saraf. Mereka bercadang untuk menetap di sana beberapa tahun lagi untuk memberi peluang kepada Nor Azila bekerja selepas tamat pengajian.

“Selalunya mereka akan berbual biasa dan bertanyakan khabar ahli keluarga. Mereka juga ada memaklumkan akan pulang ke tanah air, Ramadan ini, selain perwatakan Rahimi seorang yang periang,” katanya.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Rahimi memaklumkan keadaan juruteknik itu stabil selepas menjalani pembedahan membuang peluru dari badannya.

2217 dibaca
ROKIAH Mohammad menunjukkan gambar anaknya, Rahimi Ahmad ketika ditemui pemberita di Balik Pulau, hari ini. - Foto Mikail Ong
Berita Harian X