Jumaat, 15 March 2019 | 4:08pm
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Lukas Aket (tengah) menunjukkan pelbagai dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Foto BERNAMA

Polis rampas dadah bernilai RM850,000

JOHOR BAHRU: Polis melumpuhkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa berikutan penangkapan tujuh anggotanya dengan nilai rampasan hampir RM1 juta, di sini, Rabu lalu.

Tangkapan dilakukan hasil empat serbuan di beberapa rumah dan kondominium di Taman Mount Austin, yang bermula jam 11 pagi hingga jam 3 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Lukas Aket, berkata sindiket itu ditumpaskan hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

“Dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, kami menahan tujuh individu ini yang terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan seorang lelaki Indonesia.

“Kami percaya antara mereka yang berusia antara 18 hingga 45 tahun ini ada dalang atau ketua sindiketnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas 15.15 kilogram dadah disyaki syabu, 380 gram disyaki kokain dan 50.3 gram disyaki ekstasi.

Katanya, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM850,000, sekali gus menjadikan ia rampasan dadah kedua terbesar di Johor tahun ini dan rampasan syabu terbesar di negeri ini, setakat ini.

“Kami turut menyita empat kenderaan iaitu Mercedes Benz, Toyota Vellfire, Honda Civic dan PROTON Waja, selain pelbagai barang kemas, jam tangan mewah dan pelbagai mata wang tunai.

“Semua nilai barang sitaan ini dianggarkan berjumlah RM429,600,” katanya.

Lukas berkata, hasil siasatan awal, dadah terbabit dibawa masuk dari negara jiran dan jika terlepas untuk dijual, ia boleh menampung lebih 17,200 penagih dadah.

Semua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

231 dibaca
Berita Harian X