Jumaat, 15 March 2019 | 9:15am
Wanita warga emas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) disyaki cuba menyeludup keluar lapan tong gas petroleum cecair (LPG) dalam 'Op Landai' di Jalan CIQ lama, Tawau. - Foto ihsan PPM

Wanita 66 tahun cuba seludup tong gas ditahan

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang wanita warga emas kerana disyaki cuba menyeludup keluar lapan tong gas petroleum cecair (LPG) di Jalan CIQ lama di sini, semalam.

Suspek berumur 66 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) menerusi ‘Op Landai’ selepas didapati dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan pada jam 7.45 pagi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pemeriksaan ke atas kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek menemui lapan tong gas LPG, setiap satu seberat 14 kilogram (kg) yang disembunyikan di ruang belakang kenderaan.

“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).


Wanita warga emas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) disyaki cuba menyeludup keluar lapan tong gas petroleum cecair (LPG) dalam 'Op Landai' di Jalan CIQ lama, Tawau. - Foto ihsan PPM

“Suspek juga secara lisan mengaku membawa keluar tong gas LPG itu untuk dijual di Pulau Sebatik di Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Pajeri berkata, pihaknya turut merampas kenderaan digunakan suspek dengan nilai nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM81,440.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

325 dibaca
Berita Harian X