Khamis, 14 March 2019 | 1:31pm
Anggota HAZMAT dan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel bahan kimia yang dibuang di Sungai Kim Kim.

Jangan ambil ringan nyawa rakyat - AWER

KUALA LUMPUR: Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) mempersoalkan tindakan agensi berkaitan yang mengambil ringan insiden pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor seperti yang didedahkan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) baru-baru ini.

Presidennya, S Piarapakaran, berkata pendedahan oleh Datuk Mohammad Hamdan Wahid bahawa agensi berkaitan membiarkan bahan kimia yang menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim atas alasan kos pembersihannya tinggi disifatkan sebagai bodoh dan tidak bertanggungjawab.

“AWER terkejut dengan pendedahan yang dibuat itu. Ini adalah alasan paling bodoh dan tidak bertanggungjawab kerana setiap bahan kimia boleh diuji dan kesan negatif boleh diketahui.

“Bagaimana agensi bertanggungjawab ini boleh membuat keputusan seperti ini dan membiarkan bahan-bahan kimia ini begitu sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Piarapakaran berkata, Seksyen 47 Akta Kualiti Alam Sekeliling memberi kuasa kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi menuntut kos dan perbelanjaan jika sesuatu segmen atau unsur alam sekeliling dicemari oleh seseorang yang bersalahan dengan akta terbabit.

Katanya, AWER berulang kali menggesa supaya seksyen terbabit diguna pakai dan menteri serta agensi berkenaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk tidak menggunakannya.

“Pendedahan ini menunjukkan kegagalan menjalankan tugas yang serius, kami menggesa kerajaan untuk menyiasat insiden pencemaran ini dengan telus serta memecat menteri berkenaan, Ketua Pengarah JAS dan Pengarah JAS Johor kerana mengambil ringan nyawa rakyat.

“Kami berharap kerajaan akan bertindak dengan pantas,” katanya.

Berita Harian X