Khamis, 14 March 2019 | 12:00pm
Bekas Pegawai Eksekutif MDPTN diiringi pegawai SPRM ketika keluar dari Mahkamah Majistret selepas ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - NSTP/Edmund Samunting

SPRM reman bekas Pegawai Eksekutif MDPTN

KOTA KINABALU: Bekas Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan (MDPTN) ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman dikeluarkan Majistret Afiq Agoes terhadap suspek berusia 42 tahun itu sehingga Rabu depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Prosiding kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faliq Basirudin, manakala suspek tidak diwakili peguam.

Terdahulu, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada jam 12 tengah hari semalam.

Sumber SPRM berkata, suspek direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan daripada kontraktor bagi kerja pembekalan dan perkhidmatan di daerah Putatan antara 2017 hingga 2018.

Katanya, nilai suapan dianggarkan lebih RM20,000 dan membabitkan lebih 10 kontraktor ketika bertugas di majlis daerah itu.

Berita Harian X