Khamis, 14 March 2019 | 10:25am

Dua individu minta suapan RM75,000 direman

PUTRAJAYA: Dua lelaki yang menyamar sebagai pegawai sebuah kementerian direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta suapan lebih RM75,000.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Noraisyah Mohd Yusof selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 54 dan 25 tahun ditahan SPRM kira-kira jam 4.40 petang di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Awan Besar, Selangor.

Menurutnya, kedua-dua individu itu dipercayai bersubahat meminta suapan sebanyak RM75,000 sebagai dorongan bagi mengeluarkan surat kelulusan kuota pekerja asing oleh kementerian terbabit.

Susulan penahanan itu, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM25,000, dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan beberapa dokumen berkaitan daripada kedua-dua individu berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Kami masih memburu seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes itu,” katanya.

399 dibaca
Berita Harian X